Aller au contenu principal

Syamsul Yusof


Syamsul Yusof


Mohd Syamsul Mohd Yusof (lahir 21 Mei 1984) ialah seorang pelakon, pengarah, penulis, penerbit dan penyanyi Malaysia. Beliau juga terkenal dengan filem-filem bergenre aksi dan seram sehingga berjaya mencipta rekod sebagai Pengarah Terbaik paling muda pernah memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 iaitu pada usia 25 tahun. Beliau ialah anak kepada pengarah tersohor negara yang pernah mendapat Six Million Dollar Man, Datuk Dr. Yusof Haslam. Hasil kejayaan bapa beliau diteruskan Syamsul dengan cemerlang menerusi beberapa filem pecah panggung dan digelar The Twenty Million Dollar Man untuk kejayaan filem Munafik. Sepanjang penglibatannya dalam industri filem, beliau telah enam kali memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia, Anugerah Skrin dan Anugerah PROFIMA. Beliau juga pernah memenangi anugerah Pengarah Asia Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik di Kemboja.

Sehingga 2018, sebanyak 10 filem arahan beliau telah berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM 113.5 juta, antara filem-filem arahannya seperti Evolusi KL Drift, KL Gangster, Khurafat: Perjanjian Syaitan dan Munafik menjadi kejayaan komersial dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik beliau telah mengeluarkan enam single kolaborasinya bersama Mawi - "Kalah Dalam Menang" yang merupakan lagu tema filem Munafik arahannya, lagu "Bukan Propaganda" yang menjadi lagu tema filem Desolasi lakonannya, "Menangislah" yang menjadi lagu tema filem Munafik 2 arahannya. "Selamat Tinggal Masa" nyanyian bersama Black Hanifah merupakan lagu tema filem KL Special Force. "Senorita" nyanyian bersama AC Mizal dan Shuib Sepahtu untuk filem Abang Long Fadil 2 dan "Ya Robbi" untuk filem Khurafat.

Syamsul telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan dalam kerjaya seni, termasuk pencalonannya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik, Festival Filem Malaysia dan Anugerah Skrin. Harian Metro menyenaraikan beliau sebagai salah seorang dari 10 pelakon Malaysia yang meraih pengiktirafan di peringkat global.

Kehidupan awal

Beliau dilahirkan di Kuala Lumpur dan merupakan anak kedua daripada empat beradik. Merupakan seorang yang berdarah seni, beliau mewarisi bakat seni daripada bapanya, pelakon-pengarah-penerbit dan orang kuat Skop Productions, Dato' Yusof Haslam. Sepupunya ialah dramatis Sabrina Ali dan Rizal Ashreff dan pelakon sinetron Indonesia iaitu Miller Khan dan Aliff Alli, adiknya Syafiq juga bergiat aktif dalam bidang lakonan dan pengarahan, dua lagi adik-beradiknya ialah abang tirinya Faizal Yusof dan adik perempuan, Nur Syamin. Beliau berkelulusan dalam bidang Penyiaran dan Kewartawanan di Insitut Media Integratif Malaysia (MIIM; dahulu Akademi TV3).

Kerjaya

1998–2007: Permulaan kerjaya dan kejayaan komersial

Pada tahun 1998, Syamsul yang ketika itu berusia 14 tahun, bermula sebagai pelakon kanak-kanak dengan memegang watak kecil dalam filem Maria Mariana II arahan bapanya, Yusof Haslam. Lima tahun kemudian, beliau menjadi pelakon dan pengarah dalam beberapa siri TV di RTM dan TV3 seperti Gerak Khas, Sembilu Kasih, Airmata Maria, Tragedi Oktober dan beberapa telefilem sebelum aktif mengarah filem pada tahun 2007.

Biarpun dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai syarikat perfileman gergasi Malaysia, Skop Productions, beliau tetap menerima cabaran yang berat, yang datang daripada bapanya sendiri, Datuk Yusof Haslam. Bapa beliau ingin menguji kemampuan anaknya dengan memberi tugasan mengarah drama arahan bapanya, Gerak Khas, untuk beberapa episod. Selepas berjaya mengharungi cabaran tersebut, hasrat beliau untuk duduk di kerusi pengarah filem akhirnya tercapai. Tetapi, cabaran lain pula tiba. Skrip yang ditulis oleh beliau bersama sepupunya, Rizal Ashreff, ditolak oleh bapanya dan menyuruh menilai semula skrip tersebut. Setelah penyemakan semula, akhirnya projek filem pertamanya diluluskan dengan belanjawan yang bernilai RM 1.35 juta sebagai kos dan tarikh siap selama 35 hari. Agak membebankan apabila beliau yang baru mula mengarah terpaksa berhadapan situasi yang begitu memberi tekanan kepada beliau. Pada masa pembikinan filem tersebut, beliau terpaksa berbalah dengan bapanya berhubung soal kos filem yang terpaksa dinaikkan sehingga RM2 juta. Beliau menangis dan timbul rasa serik untuk mengarah filem. Tetapi, anak kepada Six Million Dollar Man ini tidak mengenal penat setelah filem pertamanya, Evolusi KL Drift yang ditayangkan pada 3 April 2008 berjaya di pawagam. Sejak itu, beliau giat mengarah beberapa filem pecah panggung dan melangkaui kejayaan yang diukir oleh bapanya sendiri.

2008–2011: Evolusi KL Drift 2, Khurafat dan Pengarah Terbaik

Selepas mengarah filem Evolusi KL Drift, beliau meneruskan langkah dengan mengarah filem bercorak aksi kontroversi, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam. Dikeluarkan pada 23 April 2009, filem ini mendapat perhatian ramai apabila tajuk filem ini yang kurang sesuai untuk tatapan umum. Namun beliau mempunyai alasan tersendiri. Beliau masih mengekalkan tanda dagangan beliau dengan mengarah filem-filem aksi. Filem ini dilihat berjaya. Seterusnya, beliau meneruskan kesinambungan trilogi Evolusi KL Drift menerusi Evolusi KL Drift 2. Kali ini, penceritaan yang dilakukan kelihatan agak kemas dan begitu baik. Filem yang dibintangi oleh dirinya sendiri, Farid Kamil, dan Aaron Aziz, dengan penambahan pelakon baru termasuk Scha Al-Yahya, Remy Ishak dan Zul Ariffin. Filem ini mendapat kutipan yang membanggakan. Langkah cemerlang diraih apabila Syamsul menggondol anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23. Kejayaan yang beliau kecapi ini telah melampaui apa yang pernah dicapai bapa beliau.

Beliau ingin mewarnai portfolio seorang pengarah dengan mengarah pelbagai jenis genre filem. Percubaan pertama beliau berhasil. Tahun 2011 menunjukkan kebangkitan sentuhan filem beliau apabila filem seram pertamanya, Khurafat: Perjanjian Syaitan lakonan beliau bersama Liyana Jasmay menjengah pawagam dan mencipta rekod baru apabila mencapai kutipan RM8 juta. Kejayaan ini merupakan satu kejutan bagi industri perfilem di Malaysia. Pengkritik memberi pujian kepada percubaan pertama beliau dalam mengarah filem seram.

Keganasan filem arahan beliau tidak terhenti di situ. Beliau mengganas semula dengan filem aksi pertarungan, KL Gangster yang ditayangkan pada 9 Jun 2011. Filem ini membuka mata semua pihak yang sering memperlekeh filem Melayu. Beliau begitu teliti dalam penghasilan filem ini yang dibuat khas untuk tontonan semua. Kejayaan filem ini begitu mengejutkan apabila mendapat kutipan hampir RM 12 juta, dua kali ganda apa yang dicapai oleh bapanya melalui Sembilu II. Filem ini berjaya memberi saingan kepada filem-filem luar yang ditayangkan di Malaysia. Beliau turut menyatakan kesusahan untuk mengumpulkan senarai pelakon yang dikehendaki beliau untuk filem ini. Beliau turut meraih kejayaan pada Festival Filem Malaysia ke-24 apabila berjaya menggondol anugerah Pengarah Terbaik untuk dua tahun berturut-turut menerusi filem KL Gangster.

Pada 14 September 2011, Syamsul bersama penyanyi Aizat Amdan telah terpilih sebagai penerima anugerah Tokoh Muda Negara 2011 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak bersempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-54.

Filem keenam arahannya, Aku Bukan Tomboy menemui penonton di pawagam pada 17 November 2011, filem ini memperlihatkan Syamsul ingin lari dari kebiasaanya terhadap filem bergenre aksi, apabila beliau mencuba genre komedi romantik untuk filem ini yang mana skrip asalnya ditulis oleh bapanya, filem lakonan Scha Al-Yahya, Shaheizy Sam dan dirinya sendiri mendapat sambutan dan menerima ulasan positif dari pengkritik filem meskipun menjadi kegagalan komersial.

2012–2014: Anugerah Blokbuster dan KL Gangster 2

Pada tahun 2012, filem ketujuh arahannya, Jalan Kembali: Bohsia 2 yang merupakan kesinambungan daripada filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam ditayangkan pada 7 Jun, beliau sendiri turut berlakon dalam filem ini dengan melakonkan kembali watak Mus bersama-sama pelakon asal, Nabila Huda (Tasya) dan Salina Saibi (Amy). Beliau kemudiannya membintangi filem psiko-thriller romantik SAM: Saya Amat Mencintaimu arahan adiknya, Syafiq yang ditayangkan pada 19 Ogos 2012, dalam filem yang turut dibintangi oleh Shaheizy Sam dan Lisa Surihani sebagai pelakon utama, beliau memegang watak Jeffri yang merupakan rakan sekerja Sam dan Lisa. Beliau bergandingan bersama Rita Rudaini sebagai pelakon utama drama Ameera yang disiarkan di Slot Samarinda TV3, ini merupakan penampilan pertama beliau menerusi drama di TV3 selepas kemunculannya di dalam drama Airmata Maria terbitan Skop Productions pada 2007.

Syamsul juga berjinak-jinak untuk menjadi penyanyi apabila beliau pernah menghasilkan sebuah album EP bersama Dr. Anwar Fazal yang bertajuk The Love Legacy yang mengandungi empat lagu yang terdiri daripada "Bidadari", "Apakah Semuanya Itu", "Ya Robbi" dan "Hingga Hujung Dunia".

Beliau membintangi telefilem Asmara Beijing arahan bapanya, Datuk Yusof Haslam, bersama Salina Saibi dan Norman Hakim, telefilem yang disiarkan di Astro Citra mengisahkan tentang Dira yang membawa dirinya ke Beijing, China selepas merajuk dengan cintanya kepada Rizal, telefilem ini menjalani penggambaran di Beijing dan selebihnya dilakukan di Kuala Lumpur. Syamsul bergandingan bersama Kamal Adli dan Hanis Zalikha sebagai pelakon utama filem aksi komedi arahan bapanya, Datuk Yusof Haslam dan Ahmad Idham, Gangster Celop yang merupakan gabungan daripada filem KL Gangster dan drama Apa Celop!, filem yang ditayangkan pada 21 Februari 2013 ini berkisarkan berkisar mengenai dua orang bekas gangster iaitu Adam (Syamsul Yusof) dan Aman (Kamal Adli) yang baru selesai menjalani hukuman penjara selama lima tahun, bertekad untuk menjadi insan yang lebih baik. Filem ini turut dibintangi oleh Yus Jambu, Azad Jazmin, Usop Wilcha dan Reen Rahim. Selepas Gangster Celop, beliau berlakon dalam filem Oh Mak Kau! arahan Ain Nordin yang ditayangkan pada 16 Mei 2013. Pada Oktober, beliau meraih kemenangan besar dengan membawa pulang lima trofi termasuk filem arahannya, KL Gangster merangkul kategori Filem Terhebat Anugerah Blokbuster, yang julungkali diadakan. Selain itu, filem Khurafat arahannya turut memenangi Anugerah Filem Takut Terhebat, KL Gangster menerusi Anugerah Filem Aksi Terhebat, Anugerah Tuan Direktor Terhebat serta Anugerah Khas PFM daripada penganjur majlis anugerah ini iaitu Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Filem kelapan arahannya, KL Gangster 2 menemui penonton di pawagam, masih mengekalkan Aaron Aziz, Adi Putra, Soffi Jikan dan Zizan Razak serta dirinya sendiri dan juga Rosyam Nor. Namun, dua bulan sebelum ditayangkan, industri filem negara telah dikejutkan dengan dengan penyebaran filem ini secara haram menerusi internet. Beliau mengambil langkah segera dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membendung penyebaran meluas filem ini, sambil memberi amaran keras kepada pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara tersebut. Meskipun kontroversi itu, filem ini mendapat sambutan meluas daripada penonton dan mencatat kutipan sebanyak RM4.96 juta, jumlah kutipan yang agak terendah daripada filem KL Gangster. Insiden ini menyebabkan Syamsul berasa tertekan dan kecewa hingga tidak menghadiri majlis pratonton dan tayangan perdana serta mempromosikan filem ini, sehingga beliau nekad untuk berhenti mengarahkan filem. Syamsul sekali lagi berlakon di bawah arahan adiknya, Syafiq Yusof menerusi filem Abang Long Fadil yang merupakan terbitan turunan dari filem KL Gangster, dalam filem yang dibintangi oleh Zizan Raja Lawak dan Kamal Adli, beliau memegang tiga watak – iaitu Zack (watak lakonannya dalam Evolusi KL Drift), Mus (dari Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam) dan Shark (KL Gangster), filem ini merupakan satu kejayaan komersial dan mendapat sambutan positif dari penonton dan pengulas filem serta meraih kutipan kasar sebanyak RM 4.61 juta.

2015–kini: Kebangkitan semula, Gerak Khas, Munafik dan kejayaan Mat Kilau

Pada Mei 2015, Syamsul membintangi watak utama sebagai Supritendan Jefri dalam drama kepolisan Gerak Khas musim ke-15, sebelum ini beliau pernah menjayakan beberapa episod Gerak Khas sebagai pelakon undangannya. Selepas tiga tahun menyepi dari kerusi pengarah akibat terjejas dengan nasib yang menimpa filem KL Gangster 2 arahannya yang bocor di internet sebelum tayangan perdana rasminya, Syamsul bangkit semula menerusi filem kesembilan arahan beliau Munafik ditayangkan di pawagam pada 27 Februari 2016, Syamsul sendiri turut berlakon dalam filem kesembilan arahannya dengan menjayakan watak utama sebagai Ustaz Adam, seorang ustaz yang dikurniakan ‘kelebihan’ kerana setiap pesakit yang mengalami ‘gangguan’ sering berjaya diubatinya mengikut cara perubatan Islam. Filem yang turut dibintangi oleh Nabila Huda, Pekin Ibrahim dan Fizz Fairuz ini melayakkan Syamsul menerima anugerah Pengarah Terbaik dan Suntingan Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28.

Pada 26 Februari 2016, beliau merakamkan runut bunyi untuk Munafik, yang bertajuk "Kalah Dalam Menang" yang menggandingkan beliau bersama Mawi. Selang beberapa bulan selepas itu, lagu tema untuk filem Desolasi pula menyusul dengan bertajuk "Bukan Propaganda" menampilkan kolaborasi kedua bersama Mawi. Pada tahun sama, Syamsul memegang watak sebagai Aiman dalam filem cereka sains Desolasi arahan adiknya, Syafiq Yusof. Dikeluarkan pada 8 Disember 2016, Desolasi mengisahkan tentang Aiman, seorang pelukis jalanan yang mencari jawapan dalam persoalan hidupnya dan melalui pelbagai ujian serta dugaan sehingga membuatkan dirinya hilang arah dan disahkan menghidap penyakit Anton-Babinski. Filem ini turut dibintangi oleh Pekin Ibrahim, Bella Dally dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Syamsul dilaporkan bakal menghasilkan kesinambungan filem itu yang menjalani penggambaran pada hujung 2016 yang dilaporkan bakal dibintangi oleh Mawi dan Maya Karin serta pelakon Indonesia, Dian Sastrowardoyo. Ia telah dilaporkan yang Nabila Huda tidak akan terlibat dalam Munafik 2 dan skrip filem ini juga ditulis semula oleh Syamsul walaupun ia hampir disiapkan kerana merasakan skrip berkenaan tidak melangkaui apa yang pernah dihasilkan menerusi filem pertama sebelum ini. Pada 30 Julai 2017, Syamsul telah dinamakan Pengarah Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-57 yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja menerusi filem Munafik arahan dan lakonannya, beliau bagaimanapun tidak dapat menghadiri majlis berprestij itu. Kemenangan beliau sekali gus mengulangi kejayaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Yasmin Ahmad yang pernah memenangi kategori sama. Beliau juga mengumumkan berhasrat untuk mengarahkan filem epik mengenai sejarah pahlawan negara.

Pada 1 Februari 2018, Syamsul membintangi filem drama romantik, Makrifat Cinta yang diilhamkan dari satu kisah benar, arahan Kamal G. Bagaimanapun, ketika menjalani penggambaran filem itu, Syamsul mengalami kecederaan di bahagian kiri bahunya ketika melakonkan babak letupan. Beliau bagaimanapun berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan di sebuah hospital di ibu negara. Turut berlakon dalam filem ini ialah Nora Danish dan Puteri Balqis.

Meneruskan rentetan kerjasama bersama adiknya, Syafiq, Syamsul membintangi filem aksi KL Special Force bersama Rosyam Nor dan Fattah Amin yang ditayangkan di pawagam pada 8 Mac 2018. Dalam filem ini, Syamsul memegang watak Asyraff, ketua kumpulan Geng Anarkis. Filem ini merupakan kejayaan komersial. Selain itu, beliau turut menyumbangkan lagu tema filem ini yang bertajuk "Selamat Tinggal Masa" yang menampilkan duet bersama Black Hanifah.

Pada Mac 2018, semasa malam gala filem KL Special Force lakonannya di Petaling Jaya, Syamsul mengumumkan akan mengarahkan filem biografi sejarah yang berkisarkan tentang pahlawan Melayu, Mat Kilau. Filem ini memulakan penggambaran pada 1 April 2018. Ia diterbitkan oleh Studio Kembara dan pertama arahan Syamsul yang mana beliau tidak berlakon, dibintangi oleh Datuk Adi Putra selaku watak utama dan dibantu pelakon Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As'ari, Farid Amirul, A. Galak, Yayan Ruhiyan, Nadiya Nisaa dan bintang baru, Ali Karimie. Syamsul dilaporkan enggan mengarah filem bersama adiknya, Syafiq bagi mengelakkan percanggahan pendapat dan idea. Syamsul dipetik oleh Astro Awani sebagai berkata: "Saya tidak mempunyai perancangan untuk mengarah bersama Syafiq kerana saya percaya sesebuah filem itu tidak boleh diarahkan oleh dua orang individu." Beliau turut mengakui kejayaan Syafiq sebagai persaingan sihat buatnya.

Syamsul bersama-sama dengan Nam Ron, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Chew Kin Wah, Maya Karin dan Puteri Balqis telah disenaraikan sebagai salah seorang dari 10 pelakon popular yang berjaya meraih pengiktirafan di peringkat global oleh Harian Metro pada Jun 2018. Filem ke-10 arahan beliau, Munafik 2, kesinambungan dari filem pertama yang ditayangkan pada Februari 2016, menerima keluaran tayangan rasmi pada 30 Ogos 2018. Syamsul memuatnaik poster rasmi filem ini di laman Instagram beliau. Dalam temuramah bersama Harian Metro, Syamsul berkata: "Ketika melakukan proses suntingan, saya menangis sebab jalan cerita filem ini. Apatah lagi, unsur dakwah yang diketengahkan diinspirasikan daripada kisah Nabi dan negara Islam yang ditindas. Jadi, menerusi filem ini saya nak penonton merasai ajaran Islam yang dibawa menerusi beberapa watak sedia ada dan karakter baru diperkenalkan,"

Beliau mengumumkan pada September 2018 yang Munafik 2 akan disambung untuk siri ketiga. Syamsul kembali ke set penggambaran filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan pada pertengahan Disember 2018 di mana penggambaran dihentikan seketika untuk memberi laluan kepada promosi Munafik 2.

Pada 23 Jun 2022, filem ke-11 arahannya, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ditayangkan di pawagam. Filem ini menjadi kejayaan komersial apabila ia berjaya memperoleh kutipan pecah panggung sebanyak RM80 juta, sekaligus mengatasi kutipan filem Munafik 2 arahannya. Selepas kejayaan filem tersebut, Syamsul mengarahkan filem The Original Gangster terbitan dan lakon layar beliau daripada syarikat yang ditubuhkan oleh beliau sendiri, Syamsul Yusof Films. Walaupun menerima tentangan hebat atas pengguguran Aaron Aziz, Syamsul tetap meneruskan pengarahan filem tersebut. Filem tersebut bakal menyaksikan kemunculan semula Syamsul di layar perak dalam bentuk lakonan selepas 5 tahun.

Beberapa hari selepas tamat penggabaran The Original Gansgter, Syamsul berkolaborasi bersama Astro Shaw buat kali pertama secara pengarahan dan penulisan skrip untuk filem seram keempat beliau. Filem tersebut telah didedahkan tajuk oleh Astro Gempak sebagai Khawarij.

Kehidupan peribadi

Sekitar 2007 hingga 2009, beliau sebelum ini dilaporkan pernah menjalin hubungan cinta dengan pelakon Diana Danielle (kini isteri Farid Kamil) yang juga pernah berlakon dalam dua filem arahannya.

Beliau berkahwin dengan pelakon Puteri Sarah Liyana pada 8 Mac 2014. Majlis perkahwinan Syamsul dan Puteri Sarah diadakan di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, pasangan ini diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri yang sah oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Al-Mukarramah, Mat Syaharuddin Ar Rashid pada jam 11:30 pagi dengan hanya sekali lafaz bersertakan mas kahwin berjumlah RM 1,111. Majlis perkahwinan Syamsul dan Puteri Sarah dihadiri oleh kedua-dua ahli keluarga pengantin lelaki dan perempuan, sahabat handai dan sanak saudara serta rakan-rakan artis.

Pada November 2016, Syamsul berkongsi khabar gembira apabila isterinya, Puteri Sarah disahkan hamil anak lelaki. Perkara gembira itu diketahui ketika membawa isterinya membuat pemeriksaan kehamilan, dua minggu lalu. Menurutnya, beliau masih belum membuat sebarang persiapan kelengkapan bayi memandangkan mereka baru sahaja mengetahui jantina bayi mereka. Syamsul dan Puteri Sarah pada awalnya merahsiakan berita baik itu termasuk kepada ahli keluarga kerana mahu kandungan itu betul-betul kuat. Syamsul memberitahu, isterinya turut mengalami alahan muntah dan cepat penat. Pada 19 April 2017, pasangan itu menyambut kedatangan cahaya mata sulung mereka — anak lelaki bernama Syaikhul Islam. Pada Julai 2018, Syamsul dan Puteri Sarah mengumumkan bakal menimang cahaya mata kedua. Pada 16 Mac 2019, pasangan ini dikurniakan cahaya mata kedua, iaitu anak perempuan sulung yang bernama Sumayyah.

Walau bagaimanapun, sejak akhir 2022, khabar angin mula muncul bahawa Syamsul telah berkahwin secara sulit dengan seorang lagi wanita, Ira Kazar, anak pelakon Kazar Saisi lalu menjadikannya sebagai isteri kedua. Syamsul kemudian menyalahkan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atas dakwaan fitnah dan mengugut untuk memfailkan saman mahkamah. Namun begitu, pada awal 2023, Syamsul akhirnya berisytihar bahawa dirinya telah berkahwin dengan Ira Kazar di Thailand, lalu mencetuskan konflik antara kedua-dua pihak isteri. Menurut pihak Sarah, perihal Syamsul–Kazar telah berlaku sejak empat tahun dahulu, dan ditentang kuat kerana tidak dilangsungkan dengan telus serta tidak mendapat restu. Kontroversi tersebut tidak menjejaskan beliau untuk meneruskan penggambaran The Original Gangster.

Kolaborasi

Syamsul mempunyai beberapa pelakon yang berlakon di dalam lebih daripada satu filem arahannya. Aaron Aziz dan Rahim Razali ialah pelakon paling kerap berkolaborasi, muncul dalam lima filem. Sementara Salina Saibi, Shaheizy Sam, Adam Corrie dan Soffi Jikan masing-masing muncul dalam empat filem.

Filemografi

Filem

Drama

Telefilem

Televisyen

Diskografi

EP

Single

Endorsmen

  • SYM Motors (bersama Safee Sali)

Anugerah dan pencalonan

Rujukan

Pautan luar

  • Syamsul Yusof di Pangkalan Data Filem Internet (IMDb)
  • Syamsul Yusof di Instagram
  • Syamsul Yusof di Twitter

Text submitted to CC-BY-SA license. Source: Syamsul Yusof by Wikipedia (Historical)



PEUGEOT 205