Aller au contenu principal

Daerah Klang


Daerah Klang


Daerah Klang atau dikenali sebagai kley merupakan sebuah daerah di negeri Selangor. Daerah ini terletak di barat negeri Selangor dengan keluasan 626 kilometer persegi. Daerah ini menjadi daerah keempat paling ramai penduduk dan terpadat di Malaysia dengan jumlah penduduk seramai 1,088,942 orang. Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Klang.

Asal-usul nama

Pendapat pertama mengatakan asal usul nama Klang adalah dari bahasa Mon-Khmer iaitu "Klong". Klong boleh diertikan sebagai gudang seperti mana yang di kemukakan oleh C.O. Blagden yang menyatakan Klang menjadi sebuah pelabuhan terpenting yang mempunyai banyak gudang-gudang.

Manakala pendapat kedua dari Charles A. Fishr yang menyatakan "Klang " itu bermaksud terusan atau jalan air. Pendapat ini dipersetujui dimana Klang mempunyai banyak jalan air iaitu anak-anak sungai tersebut seperti Sungai Klang, Sungai Bertek, Sungai Pinang, Sungai Sementa, Sungai Agas, Sungai Kandis, Sungai Binjai, Sungai Kapar, Sungai Jati, Sungai Aur, Sungai Rasau dan Sungai Putus. Nama sungai ini terus kekal sehingga ke hari ini.

Geografi

Daerah Klang bersempadan dengan daerah Kuala Selangor di utara, Petaling di timur, Kuala Langat di selatan dan Selat Melaka di barat.

Pentadbiran

Daerah Klang ditadbir dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Diraja Klang di barat dan Majlis Bandaraya Shah Alam di timur. Daerah ini dibahagikan kepada dua mukim, empat bandar dan enam pekan.

Kawasan pilihan raya

Kawasan pilihan raya di daerah Klang terdiri daripada tiga kawasan parlimen dan sembilan kawasan undangan negeri.

  • Kota Raja
    • Kota Kemuning
    • Sentosa
    • Sungai Kandis
  • Kapar
    • Meru
    • Sementa
    • Selat Klang
  • Klang
    • Bandar Baru Klang
    • Pelabuhan Klang
    • Pandamaran

Demografi

Berdasarkan bancian Malaysia 2020 jumlah penduduk di Daerah Klang ialah seramai 1,088,942 orang dengan kepadatan penduduk 1,724 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk sangat padat. Lebih separuh penduduk di daerah ini merupakan Bumiputera, membentuk 54.7 peratus penduduk. Kaum kedua terbesar merupakan kaum Cina diikuti India. Sebanyak 9 peratus penduduk merupakan bukan warganegara.

Nisbah penduduk lelaki kepada penduduk wanita ialah 119:100. Terdapat 301,407 tempat kediaman dengan sebanyak 263,449 isi rumah. Purata saiz isi rumah pula dicatatkan seramai empat orang dalam sebuah rumah. Lebih 738 ribu penduduk dalam kalangan umur bekerja, 312 ribu dalam golongan muda dan selebihnya 38 ribu orang merupakan warga tua.

Agama

Majoriti penduduk beragama Islam iaitu 55.7 peratus (606,824 orang) dari jumlah penduduk, diikuti Buddha seramai 21.4 peratus (232,623 orang), Hindu sebanyak 16.9 peratus (184,432 orang), Kristian sebanyak 3.8 peratus (41,352 orang) dan lain-lain sebanyak 1.7 peratus (18,048 orang). Sebanyak 5,619 orang (0.5 peratus) tidak beragama manakala selebihnya 44 orang tidak diketahui status agamanya.

Collection James Bond 007

Rujukan


Text submitted to CC-BY-SA license. Source: Daerah Klang by Wikipedia (Historical)