Aller au contenu principal

Augusto Pinochet


Augusto Pinochet


Augusto José Ramón Pinochet Ugarte ([au-gus-to pi-no-syé] atau [auˈɣusto pinoˈ(t)ʃe, -ˈ(t)ʃet]; 25 November 1915 – 10 Disember 2006) merupakan seorang jeneral, ahli politik dan diktator Chile dari tahun 1973 sehingga 1990 namun kekal sebagai panglima tertinggi Tentera Darat negara tersebut sehingga 1998 serta juga Presiden junta tentera Chile antara tahun-tahun 1973 dan 1981.

Awal hidup

Pinochet dilahirkan di Valparaíso kepada Augusto Pinochet Vera, seorang imigran berbangsa Breton dari Lamballe dan Avelina Ugarte Martínez, seorang yang berketurunan Basque. Beliau mendapatkan pendidikan peringkat rendah dan menengahnya di Seminari San Rafael de Valparaíso, Institut Rafael Ariztía di Quillota, Escuela de Los Padres Franciscanos Valparaíso, serta kemudiannya Sekolah Tentera Santiago pada tahun 1931.

Pada bulan Januari 1971, Pinochet dinaikkan pangkatnya ke jeneral divisyen iaitu Komander Jeneral Garison Tentera Santiago. Beliau dinaikkan pangkat lagi sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Darat pada awal tahun berikutnya. Pinochet dilantik Presiden Salvador Allende sebagai panglima tertinggi Tentera Darat Chile untuk menggantikan Jeneral Carlos Prats yang meletakkan jawatan akibat perselisihan politik pada 23 Ogos 1973.

Serangan ke atas La Moneda

Pada 11 September 1973, Gabungan Angkatan Tentera Chile (Tentera-Tentera Darat, Laut, Udara dan Carabinero) mengepung dan membedil Istana La Moneda serta memerintah agar Presiden Salvador Allende meletakkan jawatan. Allende enggan melakukan demikian, bahkan beliau membunuh diri beberapa lama setelah berjumpa dengan beberapa kakitangan pemerintah. Dalam catatannya sendiri, Pinochet menyatakan bahawa beliau sendiri yang mempergunakan kedudukannya untuk mengatur bersama cawangan-cawangan dalam tentera dan polis untuk menggulingkan pemerintah, namun beberapa pegawai ada menyatakan bahawa Pinochet terlibat secara teragak-agaknya hanya beberapa hari sebelum kudeta tersebut dilangsungkan dan hanya mengikut pergerakan cawangan tentera yang lain.

Kediktatoran

Pinochet menjalankan suatu pungutan suara pada 11 September 1980 bertujuan meratifikasi suatu perlembagaan yang baru. Perlembagaan baru ini memberikan kuasa yang banyak kepadanya dalam pegangan jawatannya sebagai Presiden Republik; ia turut membentuk institusi yang baru seperti Tribunal Perlembagaan, dan Majlis Keselamatan Negara (COSENA) serta memanjangkan penggal jawatan presiden sehingga 8 tahun. Perlembagaan baru ini mendapat undian setuju sebanyak margin 67.04% hingga 30.19% menurut perangkaan rasmi; namun banyak penipuan didapati setelah wawancara dibuat selepas Pinochet diusir keluar.

Junta pimpinannya segera mengharamkan semua parti berhaluan kiri dalam koalisi Unidad Popular. Parti-parti lain turut ditahan status mereka lalu kemudiannya diharamkan terus.

Pelanggaran hak asasi manusia

Kekerasan yang dilakukan terhadap penentang Pinochet turut terkesan kepada ahli keluarga dan orang awam yang berdekatan.

Menurut Peter Kornbluh dalam karya The Pinochet File, tahanan Pinochet sering diperlakukan dalam cara yang begitu sadis dalam kem-kem tahanan. Tawanan wanita sering dirogol dan diseksa di bahagian kemaluan mereka atau dipaksa melakukan "hubungan luar tabii dengan anjing". Ada daripada kelompok tahanan ini dipaksa berendam dalam serta menelan air najis.

Penahanan

Pinochet ditahan tidak lama selepas tiba di Britain untuk mendapatkan rawatan medikal pada 17 Oktober 1998 setelah suatu waran diberikan kepada Baltasar Garzón, seorang hakim dari Sepanyol. Garzón membuat penangkapan ke atas beliau atas dakwaan sebanyak 94 kali atas kegiatan menyeksa warga Sepanyol serta pembunuhan seorang diplomat negara tersebut, Carmelo Soria pada tahun 1975.

Beliau dibebaskan atas alasan masalah perubatan oleh Setiausaha Dalam Negeri Britain Jack Straw tanpa diberikan sebarang perbicaraan pada Mac 2000.

Senja hidup

Pinochet kembali ke Chile pada 6 Mac 2000, sambil ketibaannya disambut oleh para penyokongnya dan disiarkan di televisyen. Presiden Ricardo Lagos menganggap layanan tersebut mencemarkan imej Chile, manakala ribuan warga Chile membuat protes jalanan membantah ketibaan Pinochet.

Kematian

Beliau menghidap sakit jantung pada 3 Disember 2006, dan beliau dibawa ke unit penjagaan rapi Hospital Tentera Chile seminggu kemudian pada jam 13:30 waktu tempatan. Augusto meninggal dunia akibat serangan jantung dan sembap paru-paru dikelilingi keluarga rapatnya pada pukul 14:15 waktu tempatan (17:15 GMT). Ramai yang menyerbu jalanan serata Chile bersorak meraikan kematiannya sebaik sahaja berita tersebut diumumkan, terutamanya di Persiaran Alameda, ibukota Santiago.

Pemerintah Chile bersepakat agar beliau tidak diberikan pengebumian negara sepertimana Presiden-Presiden terdahulu, tetapi mengikut adat tentera memandangkan beliau dipilih secara rasmi oleh Presiden Allende. Mayatnya dibakar di Tanah Perkuburan Parque del Mar, Concón pada 12 Disember 2006 agar "mengelakkan makamnya tidak dirosakkan," menurut Marco Antonio Pinochet, anak lelakinya.

Rujukan

Bacaan lanjut

  • Bawden, John R (2016). The Pinochet Generation: The Chilean Military in the Twentieth Century. University of Alabama. ISBN 978-0-8173-1928-1.
  • Constable, Pamela (1993). A Nation of Enemies: Chile Under Pinochet. Arturo Valenzuela. New York: W. W. Norton & Company. ISBN 0393309851.
  • Cooper, Marc (2002). Pinochet and Me. Verso. ISBN 1-85984-360-3.
  • Dinges, John (2005). The Condor Years: How Pinochet And His Allies Brought Terrorism To Three Continents. New York: The New Press. ISBN 1565849779.
  • Kornbluh, Peter (2013). The Pinochet File: A Declassified Dossier on Atrocity and Accountability. New York: The New Press. ISBN 1595589120.
  • Muñoz, Heraldo (2008). The dictator's shadow : life under Augusto Pinochet. New York: Basic Books. ISBN 978-0-465-00250-4. Dicapai pada 20 January 2008. (Reviewed in The Washington Post, Book World, p. 2, 2009-10-19)
  • O'Shaughnessy, Hugh (2000). Pinochet: The Politics of Torture. New York: NYU Press. ISBN 0814762018.
  • Stern, Steve J. (2006). Remembering Pinochet's Chile: On the Eve of London 1998. Duke University Press. ISBN 0822338165.
  • Whelan, James R. (1989). Out of the Ashes: Life, Death and Transfiguration of Democracy in Chile, 1833-1988. Regnery. ISBN 978-0-895-265531.

Pautan luar

  • Obituari dalam akhbar The Times
  • Augusto Pinochet (1915–2006) – A Biography



Text submitted to CC-BY-SA license. Source: Augusto Pinochet by Wikipedia (Historical)