Aller au contenu principal

Stesen MRT 16 Sierra


Stesen MRT 16 Sierra


Stesen MRT 16 Sierra ialah stesen Transit Aliran Massa (MRT) di Puchong, Selangor, Malaysia di mana Laluan Putrajaya berkhidmat di stesen ini. Stesen ini akan dibuka rasmi pada 16 Mac 2023 dibawah pembukaan Fasa 2 laluan tersebut. Ia terletak di antara Stesen MRT Putra Permai dan Stesen MRT Cyberjaya Utara serta mempunyai kod stesen iaitu PY38. Seperti kebanyakkan stesen MRT di Lembah Klang, stesen ini adalah bertingkat.

Sejarah

Nama stesen "16 Sierra" pertama kali diumumkan dalam sebuah video yang diterbitkan oleh MRT Corp di Youtube, dengan tajuk "MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) Line Alignment Video" pada 15 September 2016. Dalam video tersebut, kod stesen sementara bagi Stesen MRT 16 Sierra ialah S33. Stesen MRT 16 Sierra serta Stesen MRT Cyberjaya Utara dikategorikan sebagai Pakej S209. Kontrak pembinaan stesen dan kerja-kerja berkaitan bagi pakej tersebut telah dianugerahkan kepada syarikat Acre Works Sdn Bhd pada 12 Oktober 2017, dengan jumlah sebanyak RM137.9 juta.

Stesen MRT 16 Sierra akan dibuka kepada orang ramai dan memulakan operasinya pada 16 Mac 2023 bersama-sama stesen-stesen Laluan Putrajaya di bawah Fasa 2 yang lain, iaitu dari stesen Kampung Batu sehingga Putrajaya Sentral. Pembukaan MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 telah diumumkan pada 23 Disember 2022 oleh MRT Corp. Walaupun begitu, mengikut perancangan asal stesen ini patut dibuka pada Julai 2022, tetapi pembukaannya menghadapi kelewatan lagi dan ditangguhkan pada Januari 2023 akibat sesi ujian set gerabak kereta api mengambil masa lama daripada biasa dan belum selesai.

Ciri-ciri stesen

Lokasi

Stesen ini terletak di sepanjang Persiaran Sierra Utama, Puchong, Selangor. Stesen MRT 16 Sierra akan menghubungkan penduduk sekitar kejiranan 16 Sierra, dan Taman D'Alpinia. Terletak berhampiran stesen adalah Kawasan Perindustrian Meranti Utama dan IOI Galeria. Tenggara stesen adalah Lebuhraya Maju (E20) dan Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya (Jalan Persekutuan 29). Stesen ini terletak di hujung selatan kawasan perbandaran 16 Sierra.

Pelan stesen

Stesen ini adalah stesen bertingkat dan mempunyai satu platform tengah di atas ruang legar untuk perkhidmatan Laluan Putrajaya. Terdapat dua platform yang menuju ke terminal laluan, Platform 1 ke Putrajaya Sentral manakala Platform 2 pula menuju ke Kwasa Damansara.

Kemudahan

Berdasarkan, Peta Transit Berintergerasi Lembah Klang, Stesen MRT 16 Sierra tidak dilengkapi dengan kemudahan kawasan meletakkan kenderaan (Park and Ride). Stesen MRT 16 Sierra juga dilengkapi dengan kemudahan bagi orang kurang upaya (OKU) seperti tanjakan, blok sentuh di lantai, tandas mesra OKU, butang lif rendah untuk pengguna kerusi roda, braille di butang lif dan kaunter rendah untuk pengguna kerusi roda. Selain itu, tandas awam, surau, pusat perkhidmatan pelanggan, lif dan eskalator turut disediakan bagi memenuhi keperluan dan keselesaan pengguna. Untuk pembelian tiket, pengguna boleh membelinya melalui mesin tiket layan diri di aras legar. Stesen ini juga dilengkapi dengan perkhidmatan bas pengantara ulang-alik, walau bagaimanapun tiada perkhidmatan tersebut ditawarkan buat masa ini.

Pintu stesen

Mengikut rancangan pelan tapak stesen, Stesen MRT 16 Sierra mempunyai dua pintu masuk dan keluar.

Rujukan


Text submitted to CC-BY-SA license. Source: Stesen MRT 16 Sierra by Wikipedia (Historical)



INVESTIGATION