Aller au contenu principal

Makrifat Cinta


Makrifat Cinta


Makrifat Cinta ialah sebuah filem drama biografi romantik Malaysia 2018 arahan Kamal G terbitan Dhananwoodd Films. Filem ini dibintangi oleh Syamsul Yusof, Nora Danish, Adi Putra, Nabila Huda dan Puteri Balqis sebagai pelakon utama manakala Datuk Aznil Nawawi dan Sabrina Ali sebagai pelakon pembantu.

Filem ini berdasarkan daripada satu kisah benar. Lensa Cooke S5 buat pertama kalinya di Malaysia telah digunakan dalam pembikinan filem ini. Selain daripada itu, ‘Motion Poster’ yang pertama di Malaysia juga telah diperkenalkan buat filem ini. Ia merupakan filem petama lakonan Syamsul yang bertemakan cinta.

Pada September 2018, Sinar Harian menyenaraikan Makrifat Cinta sebagai salah satu daripada 10 filem Malaysia dengan kutipan pecah panggung terendah bagi tahun 2018.

Plot

Mahathir (Syamsul Yusof) merupakan seorang lelaki biasa luar bandar, dari sebuah keluarga yang kurang berada. Namun begitu, keinginannya untuk menjadi seorang yang kaya bertaraf jutawan membezakan Mahathir dengan lelaki lain. Manusia tidak boleh lari daripada masalah hidup tetapi jika hidup menjadi masalah, bagaimana? Kehidupan Mahathir mengelilingi isterinya, Zara (Nabila Huda) yang menjadi punca masalahnya. Ini kerana Zara seorang wanita yang menyukai kekayaan dan mempunyai pembiayaan yang tinggi kerana gaya hidupnya. Aisha (Puteri Balqis), satu-satunya anak Mahathir merupakan kekuatannya semasa dalam masalah dan kesusahan.

Pendapatan Mahathir yang sedikit menyebabkan dia kurang mampu menaggung keluarganya, lebih-lebih lagi isterinya yang suka berbelanja tinggi. Keadaan menjadi sangat susah buatnya. Tatkala waktu susahnya ini, Mahathir secara tidak sengaja telah berjumpa dengan Sofea yang merupakan rakan sekolahnya. Perjumpaan sejenak mereka telah bertumbuh dengan cepat dan ikhlas menjadi kasih sayang. Zara, yang merupakan isteri Mahathir mulai syak wasangka dan meninggalkan Mahathir. Walaupun begitu, Zara berasa tidak puas hati dengan Mahathir dan meminta adiknya, Rizal untuk membalas dendam. Tanpa disedari, keaadan menjadi lebih parah.

Pada waktu yang sama, anak Mahathir, Aisha mula menyukai dan mengasihi Sofea. Ini kelihatan semasa Sofea menziarahinya, Aisha keliahan sangat gembira. Selain daripada itu, galakan Sofea memberi kekuatan kepada Mahathir untuk menghabiskan rekaan aplikasinya. Dengan penjualan aplikasisi ini, Mahathir dijangka menjadi seorang jutawan serta merta.

Apa yang hebatnya aplikasi ini? Adakah begitu senang menjadi seorang jutawan? Apakah halangan halangan untuk menjadi kaya? Adakah kawan semata mata atau cinta yang berputik antara Mahathir dan Sofea? Apakah rencana balas dendam Zara? Setelah mengharungi semua dugaan dugaan ini, adakah Mahathir masih dapat mencapai cita citanya itu?

Pelakon

  • Syamsul Yusof sebagai Mahathir
  • Nora Danish sebagai Sofea
  • Adi Putra sebagai Rizal
  • Nabila Huda sebagai Zara
  • Puteri Balqis sebagai Aisha
  • Aznil Nawawi sebagai pengacara TV
  • Sabrina Ali sebagai Faridah
  • Alex Yanz sebagai Tony
  • Ruzzlan Abdullah Shah sebagai Tauke Kedai Jam
  • Wan Raja sebagai Pengurus Bank
  • Rizal Ashreff sebagai Penyampai Berita
  • Geoff Andre Feyaerts sebagai Pelabur
  • Hafidz Roshdi sebagai dirinya sendiri (kameo dalam majalah)

Penerbitan

Makrifat Cinta diarahkan oleh Kamal G yang turut menulis skrip filem ini, dengan Lady G berkhidmat sebagai penerbit. Filem ini merupakan keluaran sulung Dhananwoodd Films Sdn. Bhd dan juga merupakan sebuah kisah benar yang diilhamkan oleh rakan karib Kamal. Di dalam temuramah bersama portal berita Star2, Kamal berkata: "Apabila saya mendengar ceritanya, saya benar-benar sebak di hati dan bertanya kepadanya adakah saya dapat membayangkan bagaimana dia mengatasi perjuangannya untuk filem ink. Dia kata OK, dengan syarat saya tidak mendedahkan identitinya."

Syamsul Yusof, yang terkenal dengan filem-filem arahannya seperti Evolusi KL Drift (2008), Aku Bukan Tomboy (2011), KL Gangster (2011) dan Munafik (2016), memegang watak sebagai Mahathir, ia juga menggandingkan beliau bersama Nora Danish buat pertama kali. Beliau dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kiri bahunya ketika melakonkan babak letupan semasa penggambaran dijalankan. Beliau bagaimanapun berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan di sebuah hospital di ibu negara. Adi Putra yang melakonkan watak Rizal menyifatkan wataknya sebagai lelaki tamak, manipulatif. Beliau mengakui: "Tidak seperti penjahat lain yang saya lakonkan, Rizal menggunakan kata-kata dan emosi orang untuk mendapatkan apa yang dia mahukan,".

Penggambaran filem ini mengambil masa selama 35 hari di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang. Makrifat Cinta turut menggunakan khidmat pakar teknikal dari India. Kamal berkata dalam temuramah bersama Kosmo!: “Kita memang ada menggunakan khidmat suntingan dari India. Ia merupakan usaha kami untuk memberikan yang terbaik kepada penonton. Kepakaran yang mereka miliki itu kita cuba suntik dalam Makrifat Cinta. Bukan sahaja khidmat tersebut, kami juga ada menggunakan lensa berteknologi tinggi bagi penghasilan imej yang terbaik. Semua itu nanti dapat dilihat dalam tayangan filem ini nanti,”.

Tema

Dalam satu temuramah bersama Harian Metro pada 23 Januari 2018, Kamal G berkata Makrifat Cinta menampilkan elemen Bollywood untuk menarik perhatian penonton. Ia juga mengangkat tema kepayahan hidup, cinta dan pengkhianatan.

Keluaran dan sambutan

Makrifat Cinta ditayangkan pada 1 Februari 2018 di pawagam seluruh Malaysia dan meraih kutipan sebanyak RM2.5 juta.

Filem ini mendapat ulasan positif dan bercampur dari pengkritik filem. Shazryn Mohd Faizal dari mStar Online memuji filem ini dan berkata: "...menonton Makrifat Cinta ibarat seperti menonton sebuah filem dari India tetapi menggunakan wajah Melayu. Senang cerita, ia seolah-olah sebuah filem adaptasi yang dihasilkan semata-mata untuk pasaran di negara ini." Di dalam ulasan untuk Harian Metro, Amirul Haswendy Ashari menghuraikan kenapa menggunakan judul Makrifat Cinta dan yang cuba disampaikan pengarah dan penulis skrip saat menvisualkannya dan menulis "...pembukaan babak pengenalan watak ala filem genre itu diiringi lagu rancak memberi gambaran jelas, penonton bakal dihidangkan kisah watak itu yang ada warna tersendiri."

Pada September 2018, Makrifat Cinta disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 filem Malaysia dengan kutipan pecah panggung terendah bagi tahun 2018 oleh Sinar Harian, bersama-sama Busker, Bidong: The Boat People dan Hantu Wangan serta enam lagi filem.

Collection James Bond 007

Tayangan media

Makrifat Cinta telah ditayangkan untuk tontonan rumah yang mana pelanggan ASTRO boleh melanggannya di saluran Astro First Saluran 480 bermula pada 15 Mac 2018. Filem ini memulakan tayangan perdana di Astro Citra pada 9 Mac 2019.

Muzik

Lagu tema filem ini dengan judul sama dinyanyikan oleh Shiha Zikir, dicipta oleh komposer kelahiran India, Naren Balakumar dengan lirik ditulis oleh Dr Rizal dan dirakamkan dalam tempoh sehari. Lagu ini boleh didapati untuk muat turun digital di iTunes dan penstriman digital di Spotify.

Anugerah

Trivia

  • Gambar pelakon Hafidz Roshdi yang terpampang di halaman belakang majalah Media Hiburan, kelihatan dalam filem ini.
  • Gandingan kali kedua Puteri Balqis dan Nabila Huda selepas Akulah Balqis (2015).

Rujukan

Pautan luar

  • Makrifat Cinta di Pangkalan Data Filem Internet (IMDb)

Text submitted to CC-BY-SA license. Source: Makrifat Cinta by Wikipedia (Historical)